Sunday 22 December 2013

Wafdul Amin 2013 : Sebuah Kenangan Indah bersama batch 2NT (part 5)

Keadaan aktiviti pencarian dana WAFA semakin perlahan kerana banin dan banat 2NT ingin memberikan perhatian kepada peperiksaan pertengahan tahun. Dalam masa yang sama, keadaan yang mencemaskanku muncul di saat isteriku dimasukkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) di Cheras pada 14 Jun 2013. Walaupun tarikh yang dijangkakan untuk melahirkan bayi pada 28 Jun 2013, tetapi kesakitan yang dialaminya menyebabkan dia perlu masuk awal ke HUKM. Aku semakin berdebar dengan keadaan yang berlaku. Tambahan pula, kematian bayi sepupu isteriku masih segar bermain-main di fikiranku. Bayi mereka mati di saat kandungan memasuki usia 5 bulan. Aku amat takut keadaan tersebut terjadi kepada diriku dan hanya mampu untuk berdoa agar Allah permudahkan urusan isteriku.

Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM)
Setelah 2 hari masa berlalu, aku melihat kesakitan yang dialami oleh isteriku membuatkan hatiku semakin resah dan gelisah. Pada jam 2.00 petang, aku mengambil masa sebentar untuk ke surau HUKM bagi mengadu kepada Allah dengan apa yang berlaku agar diberikan kekuatan dalam menghadapi apa jua keadaan yang berlaku. Sejurus selepas Asar, aku memasuki ruang bersalin untuk melihat keadaan isteriku semula. Hatiku semakin berdegup kencang tatkala melihat isteriku yang semakin mengerang kesakitan. “Ya Allah, permudahkanlah urusan isteriku dan berikanlah kekuatan kepadanya untuk menghadapi ujian yang berat ini”, bisikku di dalam hati. Dalam pada itu, ingatanku jauh melayang memikirkan bagaimana keadaan ibuku di saat melahirkanku. Tanpa ku sedari, air mataku mengalir dari kelopak mata di saat terkenangkan ibuku yang semakin dimamah usia.

Munajat seorang hamba
Lamunanku terhenti di saat jururawat memberitahu yang isteriku perlu untuk melahirkan kandungan dengan segera disebabkan keadaan bayi akan terancam jika dibiarkan lebih lama. Tanpa membuang masa, aku bingkas mengambil posisi di sebelah kanan isteriku untuk memegang dan menenangkannya. Masya Allah, di saat itu, barulah aku sedari dan melihat sendiri bagaimana kesakitan yang terpaksa ditanggung oleh seorang ibu dalam melahirkan anaknya.

“Khas buat ibuku tersayang, anakmu amat menyayangimu dan tidak mampu membalas pengorbananmu di saat melahirkanku. Ya Allah, kau tempatkanlah ibuku di tempat yang mulia di sisiMu”

Alhamdulillah, tepat jam 5.00 petang, isteriku selamat melahirkan seorang anak yang comel.

Lahirnya sebutir permata dalam hidupku
Suatu kenangan yang akan aku kenang sampai bila-bila berkenaan dengan WAFA ialah kelahiran anak pertamaku pada 16 Jun 2013. Walaupun usiaku baru menjangkau 26 tahun, Allah telah mengurniakan sebuah gelaran yang aku nanti-nantikan iaitu gelaran seorang bapa. Tanpa aku sedari, tarikh tersebut mempunyai maknanya yang tersendiri iaitu Hari Bapa, sebuah hari yang sering disambut oleh ramai bapa setiap tahun. Tetapi, bagiku Hari Bapa mahupun Hari Ibu adalah sepanjang tahun, di mana mereka telah membesarkan kita dengan penuh kasih sayang. 

16 Jun - Father's Day
Macam comel je..macam cantik je..
Setelah hampir seminggu kelahiran cahaya mataku, namanya masih belum diputuskan. Dan lebih menambahkan kenangan manis, anak perempuanku diberikan nama WAFAA’ atas beberapa sebab. Seumpama sebuah permata muncul di tengah-tengah himpunan kaca dalam hidupku. Walaupun WAFA dan WAFAA’ tidak sama ejaan dan sebutan, tetapi kedua-duanya mempunyai nilai yang sangat bermakna dalam hatiku. Kelahirannya menjadikan hidupku lebih ceria dan indah seumpama mentari pagi yang bersinar memancarkan cahayanya.


Bersambung...

No comments:

Post a Comment