Saturday 21 December 2013

Wafdul Amin 2013 : Sebuah Kenangan Indah bersama batch 2NT (part 4)

Seingat aku..pada bulan April, aku telah membuat undian bersama banin dan banat 2NT bagi memutuskan tempat WAFA tahun ni. Alhamdulillah, setelah undian selesai, kami sepakat untuk memutuskan Terengganu sebagai destinasi WAFA kali ini, cumanya masih belum ada idea di mana tempat yang sesuai untuk berkelana. Akhirnya aku memikirkan yang alangkah indahnya kalau dapat bertapak sekitar kampung nelayan. Dan apabila aku melihat peta Terengganu, daerah yang paling panjang menghadap pantai ialah Marang. Dalam hati aku mengatakan bagaimana untuk menentukan sebuah tempat yang sesuai sedangkan dalam daerah Marang sendiri terdiri daripada 9 buah mukim dan lebih kurang 120 buah kampung.


Peta Terengganu
Kawasan Marang
Pada mulanya aku cuba meminta nombor yang boleh dihubungi dari seorang kawanku yang berasal dari Kuala Terengganu. Dia hanya mengirimkan nombor pembantu peribadi Ahli Parlimen Marang, Encik Zaihan untuk aku hubungi. Aku memulakan langkah awal dengan menghubunginya dan menghantarkan email menceritakan tentang program yang akan dijalankan dan keputusan yang telah disepakati. Akhirnya dia mengatakan yang akan berbincang dengan pihak di sana. Aku menanti dengan penuh harapan agar banin dan banat 2NT dapat menimba sesuatu yang berharga dari perkampungan nelayan tersebut. Setelah 2 minggu tiada jawapan yang diberikan, aku memutuskan untuk menghubungi dan bertanyakan bagaimana keputusan pihak di sana. Aku agak terkejut dengan jawapan yang diberikan kerana dia mengatakan yang belum dibawa untuk dibincangkan. Akhirnya aku memberikan tempoh lagi 2 minggu untuk mendapatkan jawapan. Dia meminta aku untuk menghubungi Pak Cik Wahab kerana dia adalah orang yang lama berkhidmat di situ.

Sebuah perkampungan nelayan di Marang
Setelah lama aku bercakap dengan pak cik Wahab melalui telefon, aku bercadang untuk terus ke sana dan membincangkan dengan lebih terperinci dalam keadaan aku mengetahui keadaan di sana. Waktu itu, keadaan tidak membenarkan kerana semakin dekat dengan peperiksaan pertengahan tahun. Jadi aku terpaksa menunda ke satu tarikh lain yang lebih sesuai untuk ke sana.



Bersambung...

No comments:

Post a Comment