Saturday 18 January 2014

Wafdul Amin 2013 : Sebuah Kenangan Indah bersama batch 2NT (part 7)

Setelah 6 bulan masa berlalu, akhirnya perlantikan guru-guru yang terlibat untuk membantu WAFA akhirnya diputuskan. Nama-nama yang terlibat ialah Ustaz Aziz, Ustaz Syahil, Cikgu Sarimah, Cikgu Raihan dan Cikgu Fazwani Ain. Alhamdulillah, dengan bertambahnya guru-guru WAFA, sekurang-kurangnya merancakkan lagi gerak kerja WAFA dalam mencari dana. Setelah setengah tahun masa berlalu, lebih kurang RM 15,000 berjaya dikumpul oleh semua kumpulan yang terlibat. Dalam pengiraan mudah, agak sukar juga untuk mencapai RM 60, 000 seperti yang disasarkan sekiranya mampu mengumpulkan satu per empat dari setengah tahun. Sedar tidak sedar, WAFA akan bermula hujung bulan November, bermakna kurang dari 5 bulan masa yang tersedia. Walau bagaimanapun, aku masih optimis dengan batch 2NT dapat melakukannya dalam mencapai target tersebut. Ada kalanya aku melihat turun naik semangat yang ditunjukkan oleh mereka dalam mencari duit.

Wajah-wajah tonggak WAFA 2013
Dalam masa yang sama, aku mendoakan agar Allah memudahkan urusan dalam pemilihan tempat tersebut. Akhirnya...bermula dari sebuah perjalanan yang tidak pernah aku duga, aku bertemu dengan Ahli Parlimen Marang sendiri di majlis perkahwinan sepupu isteriku, iaitu Tuan Guru Haji Hadi (TGHH). Masa tu, TGHH adalah seorang VVIP yang dijemput khas oleh mereka sebagai seorang tetamu istimewa. Aku melihat ruang tersebut untuk berbincang dengan lebih rapat dengan TGHH. Lalu, aku mencari personal assistant TGHH yang hadir sama dalam majlis tersebut. Aku melihat seorang lelaki yang berdiri tegak dan keadaan badan yang agak tegap berdiri tidak jauh dari TGHH. Tanpa membuang masa, aku mendekatinya dan bertanyakan tentang En. Zaihan yang aku pernah hubungi sebelum ini. Dia mengatakan yang En. Zaihan tidak dapat hadir atas sebab-sebab tertentu dan digantikan dengannya. Orang yang dimaksudkan ialah tidak lain tidak bukan, orang yang menjadi ayah angkat kepada Maryam, Dalilla, Wan Ira Izlyn, Najwa dan Syimah iaitu Pak Awi. Dari situlah bermula sebuah perbincangan ringkas secara mata bertentang mata.

Pak Awi dan anak-anak angkatnya (sorang lagi hilang..:p)
Kesempatan untuk bersama dengan TGHH dimanfaatkan sebaik mungkin dan Wafaa’dibawa untuk bersua dengan TGHH bagi dibacakan doa-doa agar menjadi seorang anak yang solehah dan beriman. Sejak pertemuan itu, aku merasakan yang Allah telah membuka ruang-ruang dalam merealisasikan impian untuk mengadakan program di Marang. Hasil dari perbincangan tersebut, maka kami telah memutuskan untuk membuat tinjauan dan perbincangan tentang keadaan perkampungan nelayan di Marang.

Pertemuan pertama Wafaa' dengan TGHH

Bersambung...



Saturday 4 January 2014

Wafdul Amin 2013 : Sebuah Kenangan Indah bersama batch 2NT (part 6)

Tanggal 22 Jun 2013, bermulalah sebuah program khas yang dinamakan Tamrin WAFA. Semua banin dan banat 2NT perlu melibatkan diri dalam tamrin kali ini. Ianya sebuah program kemasyarakatan yang diterapkan unsur-unsur tarbiyah. Cikgu Syarifuddin atau lebih dikenali sebagai Abang Syarip banyak memainkan peranan penting dalam membantu Tamrin WAFA kali ini bersama-sama guru pengiring, Ustaz Khairussani, Cikgu Raihan, Cikgu Ili Raihana, Cikgu Syaheera dan Cikgu Syuhada’. Tidak ketinggalan juga alumni-alumni yang sentiasa berkhidmat untuk Al-Amin. Sesi dimulakan dengan memberikan kata-kata semangat untuk terus bergerak dan bekerja dalam apa jua program yang disertai.

Taujihat seorang abang kepada adik-adiknya
Banyak perkara yang dapat dipelajari terutama cara dan pendekatan terbaik dalam melibatkan diri dengan masyarakat. Bukan mudah untuk terjun dan bersama-sama dengan masyarakat, tetapi itulah antara objektif yang ingin dicapai dalam program WAFA. Skil dan bakat perlu digilap dan diasah dalam menjadikan banin dan banat 2NT lebih menjiwai keadaan masyarakat setempat yang lebih memerlukan.

Rumah mana yang sesuai ni..?

Barang apa lagi yang kita nak beli ye..?

Dalam pada itu, akhlak dan tutur kata juga memainkan peranan penting dalam membawa nilai sebagai pelajar Al-Amin Gombak yang diketahui umum, mempunyai identiti tersendiri berbanding sekolah-sekolah yang lain. Tidak mustahil di masa akan datang, ada di kalangan banin dan banat 2NT yang akan menjadi orang hebat di Malaysia, dapat menyelami dan menjiwai apa yang dirasai oleh rakyat marhain dan golongan yang memerlukan. Bantuan sentiasa dapat dihulurkan walaupun tanpa perlu meminta.

Mendengar luahan seorang mak cik..
Pelbagai gelagat dan kerenah banin dan banat yang dapat dilihat semasa pembelian sumbangan dan pemilihan rumah untuk diziarahi dalam menyampaikan sumbangan kepada keluarga yang memerlukan. Aku merasa sebuah kepuasan dalam kebersamaan dengan masyarakat yang memerlukan dan mengetahui bagaimana keadaan mereka apabila dihargai tanpa mereka minta.

Masih mencari rumah yang sesuai..

Bersambung...