Saturday 18 January 2014

Wafdul Amin 2013 : Sebuah Kenangan Indah bersama batch 2NT (part 7)

Setelah 6 bulan masa berlalu, akhirnya perlantikan guru-guru yang terlibat untuk membantu WAFA akhirnya diputuskan. Nama-nama yang terlibat ialah Ustaz Aziz, Ustaz Syahil, Cikgu Sarimah, Cikgu Raihan dan Cikgu Fazwani Ain. Alhamdulillah, dengan bertambahnya guru-guru WAFA, sekurang-kurangnya merancakkan lagi gerak kerja WAFA dalam mencari dana. Setelah setengah tahun masa berlalu, lebih kurang RM 15,000 berjaya dikumpul oleh semua kumpulan yang terlibat. Dalam pengiraan mudah, agak sukar juga untuk mencapai RM 60, 000 seperti yang disasarkan sekiranya mampu mengumpulkan satu per empat dari setengah tahun. Sedar tidak sedar, WAFA akan bermula hujung bulan November, bermakna kurang dari 5 bulan masa yang tersedia. Walau bagaimanapun, aku masih optimis dengan batch 2NT dapat melakukannya dalam mencapai target tersebut. Ada kalanya aku melihat turun naik semangat yang ditunjukkan oleh mereka dalam mencari duit.

Wajah-wajah tonggak WAFA 2013
Dalam masa yang sama, aku mendoakan agar Allah memudahkan urusan dalam pemilihan tempat tersebut. Akhirnya...bermula dari sebuah perjalanan yang tidak pernah aku duga, aku bertemu dengan Ahli Parlimen Marang sendiri di majlis perkahwinan sepupu isteriku, iaitu Tuan Guru Haji Hadi (TGHH). Masa tu, TGHH adalah seorang VVIP yang dijemput khas oleh mereka sebagai seorang tetamu istimewa. Aku melihat ruang tersebut untuk berbincang dengan lebih rapat dengan TGHH. Lalu, aku mencari personal assistant TGHH yang hadir sama dalam majlis tersebut. Aku melihat seorang lelaki yang berdiri tegak dan keadaan badan yang agak tegap berdiri tidak jauh dari TGHH. Tanpa membuang masa, aku mendekatinya dan bertanyakan tentang En. Zaihan yang aku pernah hubungi sebelum ini. Dia mengatakan yang En. Zaihan tidak dapat hadir atas sebab-sebab tertentu dan digantikan dengannya. Orang yang dimaksudkan ialah tidak lain tidak bukan, orang yang menjadi ayah angkat kepada Maryam, Dalilla, Wan Ira Izlyn, Najwa dan Syimah iaitu Pak Awi. Dari situlah bermula sebuah perbincangan ringkas secara mata bertentang mata.

Pak Awi dan anak-anak angkatnya (sorang lagi hilang..:p)
Kesempatan untuk bersama dengan TGHH dimanfaatkan sebaik mungkin dan Wafaa’dibawa untuk bersua dengan TGHH bagi dibacakan doa-doa agar menjadi seorang anak yang solehah dan beriman. Sejak pertemuan itu, aku merasakan yang Allah telah membuka ruang-ruang dalam merealisasikan impian untuk mengadakan program di Marang. Hasil dari perbincangan tersebut, maka kami telah memutuskan untuk membuat tinjauan dan perbincangan tentang keadaan perkampungan nelayan di Marang.

Pertemuan pertama Wafaa' dengan TGHH

Bersambung...



Saturday 4 January 2014

Wafdul Amin 2013 : Sebuah Kenangan Indah bersama batch 2NT (part 6)

Tanggal 22 Jun 2013, bermulalah sebuah program khas yang dinamakan Tamrin WAFA. Semua banin dan banat 2NT perlu melibatkan diri dalam tamrin kali ini. Ianya sebuah program kemasyarakatan yang diterapkan unsur-unsur tarbiyah. Cikgu Syarifuddin atau lebih dikenali sebagai Abang Syarip banyak memainkan peranan penting dalam membantu Tamrin WAFA kali ini bersama-sama guru pengiring, Ustaz Khairussani, Cikgu Raihan, Cikgu Ili Raihana, Cikgu Syaheera dan Cikgu Syuhada’. Tidak ketinggalan juga alumni-alumni yang sentiasa berkhidmat untuk Al-Amin. Sesi dimulakan dengan memberikan kata-kata semangat untuk terus bergerak dan bekerja dalam apa jua program yang disertai.

Taujihat seorang abang kepada adik-adiknya
Banyak perkara yang dapat dipelajari terutama cara dan pendekatan terbaik dalam melibatkan diri dengan masyarakat. Bukan mudah untuk terjun dan bersama-sama dengan masyarakat, tetapi itulah antara objektif yang ingin dicapai dalam program WAFA. Skil dan bakat perlu digilap dan diasah dalam menjadikan banin dan banat 2NT lebih menjiwai keadaan masyarakat setempat yang lebih memerlukan.

Rumah mana yang sesuai ni..?

Barang apa lagi yang kita nak beli ye..?

Dalam pada itu, akhlak dan tutur kata juga memainkan peranan penting dalam membawa nilai sebagai pelajar Al-Amin Gombak yang diketahui umum, mempunyai identiti tersendiri berbanding sekolah-sekolah yang lain. Tidak mustahil di masa akan datang, ada di kalangan banin dan banat 2NT yang akan menjadi orang hebat di Malaysia, dapat menyelami dan menjiwai apa yang dirasai oleh rakyat marhain dan golongan yang memerlukan. Bantuan sentiasa dapat dihulurkan walaupun tanpa perlu meminta.

Mendengar luahan seorang mak cik..
Pelbagai gelagat dan kerenah banin dan banat yang dapat dilihat semasa pembelian sumbangan dan pemilihan rumah untuk diziarahi dalam menyampaikan sumbangan kepada keluarga yang memerlukan. Aku merasa sebuah kepuasan dalam kebersamaan dengan masyarakat yang memerlukan dan mengetahui bagaimana keadaan mereka apabila dihargai tanpa mereka minta.

Masih mencari rumah yang sesuai..

Bersambung...



Sunday 22 December 2013

Wafdul Amin 2013 : Sebuah Kenangan Indah bersama batch 2NT (part 5)

Keadaan aktiviti pencarian dana WAFA semakin perlahan kerana banin dan banat 2NT ingin memberikan perhatian kepada peperiksaan pertengahan tahun. Dalam masa yang sama, keadaan yang mencemaskanku muncul di saat isteriku dimasukkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) di Cheras pada 14 Jun 2013. Walaupun tarikh yang dijangkakan untuk melahirkan bayi pada 28 Jun 2013, tetapi kesakitan yang dialaminya menyebabkan dia perlu masuk awal ke HUKM. Aku semakin berdebar dengan keadaan yang berlaku. Tambahan pula, kematian bayi sepupu isteriku masih segar bermain-main di fikiranku. Bayi mereka mati di saat kandungan memasuki usia 5 bulan. Aku amat takut keadaan tersebut terjadi kepada diriku dan hanya mampu untuk berdoa agar Allah permudahkan urusan isteriku.

Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM)
Setelah 2 hari masa berlalu, aku melihat kesakitan yang dialami oleh isteriku membuatkan hatiku semakin resah dan gelisah. Pada jam 2.00 petang, aku mengambil masa sebentar untuk ke surau HUKM bagi mengadu kepada Allah dengan apa yang berlaku agar diberikan kekuatan dalam menghadapi apa jua keadaan yang berlaku. Sejurus selepas Asar, aku memasuki ruang bersalin untuk melihat keadaan isteriku semula. Hatiku semakin berdegup kencang tatkala melihat isteriku yang semakin mengerang kesakitan. “Ya Allah, permudahkanlah urusan isteriku dan berikanlah kekuatan kepadanya untuk menghadapi ujian yang berat ini”, bisikku di dalam hati. Dalam pada itu, ingatanku jauh melayang memikirkan bagaimana keadaan ibuku di saat melahirkanku. Tanpa ku sedari, air mataku mengalir dari kelopak mata di saat terkenangkan ibuku yang semakin dimamah usia.

Munajat seorang hamba
Lamunanku terhenti di saat jururawat memberitahu yang isteriku perlu untuk melahirkan kandungan dengan segera disebabkan keadaan bayi akan terancam jika dibiarkan lebih lama. Tanpa membuang masa, aku bingkas mengambil posisi di sebelah kanan isteriku untuk memegang dan menenangkannya. Masya Allah, di saat itu, barulah aku sedari dan melihat sendiri bagaimana kesakitan yang terpaksa ditanggung oleh seorang ibu dalam melahirkan anaknya.

“Khas buat ibuku tersayang, anakmu amat menyayangimu dan tidak mampu membalas pengorbananmu di saat melahirkanku. Ya Allah, kau tempatkanlah ibuku di tempat yang mulia di sisiMu”

Alhamdulillah, tepat jam 5.00 petang, isteriku selamat melahirkan seorang anak yang comel.

Lahirnya sebutir permata dalam hidupku
Suatu kenangan yang akan aku kenang sampai bila-bila berkenaan dengan WAFA ialah kelahiran anak pertamaku pada 16 Jun 2013. Walaupun usiaku baru menjangkau 26 tahun, Allah telah mengurniakan sebuah gelaran yang aku nanti-nantikan iaitu gelaran seorang bapa. Tanpa aku sedari, tarikh tersebut mempunyai maknanya yang tersendiri iaitu Hari Bapa, sebuah hari yang sering disambut oleh ramai bapa setiap tahun. Tetapi, bagiku Hari Bapa mahupun Hari Ibu adalah sepanjang tahun, di mana mereka telah membesarkan kita dengan penuh kasih sayang. 

16 Jun - Father's Day
Macam comel je..macam cantik je..
Setelah hampir seminggu kelahiran cahaya mataku, namanya masih belum diputuskan. Dan lebih menambahkan kenangan manis, anak perempuanku diberikan nama WAFAA’ atas beberapa sebab. Seumpama sebuah permata muncul di tengah-tengah himpunan kaca dalam hidupku. Walaupun WAFA dan WAFAA’ tidak sama ejaan dan sebutan, tetapi kedua-duanya mempunyai nilai yang sangat bermakna dalam hatiku. Kelahirannya menjadikan hidupku lebih ceria dan indah seumpama mentari pagi yang bersinar memancarkan cahayanya.


Bersambung...

Saturday 21 December 2013

Wafdul Amin 2013 : Sebuah Kenangan Indah bersama batch 2NT (part 4)

Seingat aku..pada bulan April, aku telah membuat undian bersama banin dan banat 2NT bagi memutuskan tempat WAFA tahun ni. Alhamdulillah, setelah undian selesai, kami sepakat untuk memutuskan Terengganu sebagai destinasi WAFA kali ini, cumanya masih belum ada idea di mana tempat yang sesuai untuk berkelana. Akhirnya aku memikirkan yang alangkah indahnya kalau dapat bertapak sekitar kampung nelayan. Dan apabila aku melihat peta Terengganu, daerah yang paling panjang menghadap pantai ialah Marang. Dalam hati aku mengatakan bagaimana untuk menentukan sebuah tempat yang sesuai sedangkan dalam daerah Marang sendiri terdiri daripada 9 buah mukim dan lebih kurang 120 buah kampung.


Peta Terengganu
Kawasan Marang
Pada mulanya aku cuba meminta nombor yang boleh dihubungi dari seorang kawanku yang berasal dari Kuala Terengganu. Dia hanya mengirimkan nombor pembantu peribadi Ahli Parlimen Marang, Encik Zaihan untuk aku hubungi. Aku memulakan langkah awal dengan menghubunginya dan menghantarkan email menceritakan tentang program yang akan dijalankan dan keputusan yang telah disepakati. Akhirnya dia mengatakan yang akan berbincang dengan pihak di sana. Aku menanti dengan penuh harapan agar banin dan banat 2NT dapat menimba sesuatu yang berharga dari perkampungan nelayan tersebut. Setelah 2 minggu tiada jawapan yang diberikan, aku memutuskan untuk menghubungi dan bertanyakan bagaimana keputusan pihak di sana. Aku agak terkejut dengan jawapan yang diberikan kerana dia mengatakan yang belum dibawa untuk dibincangkan. Akhirnya aku memberikan tempoh lagi 2 minggu untuk mendapatkan jawapan. Dia meminta aku untuk menghubungi Pak Cik Wahab kerana dia adalah orang yang lama berkhidmat di situ.

Sebuah perkampungan nelayan di Marang
Setelah lama aku bercakap dengan pak cik Wahab melalui telefon, aku bercadang untuk terus ke sana dan membincangkan dengan lebih terperinci dalam keadaan aku mengetahui keadaan di sana. Waktu itu, keadaan tidak membenarkan kerana semakin dekat dengan peperiksaan pertengahan tahun. Jadi aku terpaksa menunda ke satu tarikh lain yang lebih sesuai untuk ke sana.



Bersambung...

Thursday 19 December 2013

Wafdul Amin 2013 : Sebuah Kenangan Indah bersama batch 2NT (part 3)

Tanpa membuang masa, aku bersama dengan batch 20 atau lebih dikenali sebagai 2NT menyusun langkah awal untuk menggerakkan WAFA. Aku melihat kesungguhan dan semangat banin dan banat 2NT untuk melibatkan diri dalam program WAFA berdasarkan pengalaman abang-abang dan kakak-kakak sebelum ini. Mungkin pengalaman yang dikongsikan dan video-video berkaitan dengan WAFA yang dimuat naik dalam Youtube sedikit sebanyak menaikkan lagi semangat mereka.

WAFA 2006
WAFA 2011
Setelah berlaku proses sederhana, maka terbentuklah 19 kumpulan yang terdiri daripada 6 kumpulan banin dan 13 kumpulan banat. Dibekalkan dana sebanyak RM 1500 oleh pihak WAFA 2012 untuk meneruskan pencarian dana yang disasarkan sebanyak RM 60,000. 

RM 60,000 tu..boleh buat belanja kawin..:)
Sebuah nilai yang agak besar untuk dicari oleh sekumpulan pelajar yang masih mentah dalam mengharungi kehidupan ini. Tetapi, memang WAFA adalah sebuah program yang besar dan mencabar, dan perlu mengharunginya sepanjang tahun 2013. Pengarah yang dilantik dari pihak pelajar ialah Muhammad Hanafi bin Parman, dibantu oleh penolongnya Syima Adilah bt. Salahuddin bersama dengan AJK-AJK yang lain.

Gaya seorang Pengarah
Kelibat seorang Penolong Pengarah
Setelah kumpulan dibahagikan mengikut pilihan mereka tersendiri berbekalkan RM 80 bagi setiap kumpulan, maka berjalanlah aktiviti kumpulan masing-masing. Idea kreatif dikerah dalam menggunakan ruang-ruang yang ada untuk mencari dana. Ada yang mengambil peluang untuk berniaga kecil-kecilan seperti gula-gula, keropok dan makanan ringan yang lain. Ada juga yang melihat ruang membantu dalam kerja catering lebih mendatang pulangan yang lumayan. Ada juga yang menganjurkan pertandingan Futsal dan Bola Jaring bagi menjana duit. Ada yang berniaga semasa acara-acara keramaian contohnya Hari Sukan Sekolah, Hari Ko-Kurikulum dan sebagainya. Banyak sekali ruang yang digunakan oleh banin dan banat dalam mengumpulkan dana. Ada kumpulan yang membuat penjualan secara online.

Nak buat burger ke nak makan burger tu...?
Habis air sabun sebesen..
Macam-macam ada...
Nak nasyid ke nak bantu catering?
Menghabiskan makanan yang tak habis ke tu...?
Macam sedap je..macam sedap je..
Aik? Tengah conteng beg siapa pulak?
Dalam pada itu, kesungguhan dan pengorbanan yang ditunjukkan dapat dilihat melalui usaha dan gerak kerja mereka. Hakikatnya, ada kumpulan yang banyak melakukan aktiviti untuk mengumpulkan duit, manakala ada sebahagian kumpulan yang tidak bersemangat langsung dalam terlibat dengan aktiviti mencari duit melalui cara tersebut.


Bersambung...

Tuesday 17 December 2013

Wafdul Amin 2013 : Sebuah Kenangan Indah bersama batch 2NT (part 2)

Rasanya sudah lama aku tidak menulis dan tidak tahu dari mana untuk aku memulai luahan ini. Bermula dari awal tahun 2013, aku dilantik sebagai Guru Penyelaras WAFA oleh pihak sekolah. Sebuah tugasan yang aku kira berat untuk dipikul terutama bagi guru yang baru berkelana di Sekolah Menengah Islam Al-Amin Gombak (SMIAAG). Tatkala aku mencari guru-guru yang akan bersamaku untuk menjayakan program WAFA kali ini dan ternyata masih tiada nama-nama yang dilantik seperti tahun-tahun sebelumnya. Walaupun sebelum ni aku dilantik sebagai guru WAFA pada tahun 2012, aku tidak banyak melibatkan diri dan banyak dikelolakan oleh guru Penyelaras yang hebat, Ustaz Shahrulnizam b Shahdan. Jadi ruang tersebut tidak dimanfaatkan sebaik mungkin dan Allah memberikan ujian sekali lagi dan kali ini lebih berat berbanding sebelum ni. Dalam masa yang sama, aku runsing memikirkan konsep dan gerak kerja WAFA yang akan dijalankan. Aku menarik nafas panjang dan mendoakan agar Allah mempermudahkan urusanku untuk menguruskan program WAFA.

Ustaz Shahrulnizam berucap semasa program WAFA 2012
Sejujurnya aku kurang mengenali banin dan banat batch 20 disebabkan baru setahun aku bertapak di SMIAAG dan tidak mendapat ruang dan peluang untuk mengajarkan mereka. Cuma, yang aku dapat tahu mereka antara batch yang terbaik yang ada berdasarkan keputusan PMR yang agak baik berbanding sebelumnya. Ada sebahagian banin dan banat berpindah ke sekolah lain, terutama Sekolah Menengah Al-Amin Bestari di Merlimau, ada juga yang ke MRSM dan sekolah-sekolah lain.

Wajah-wajah indah 2NT
Wajah-wajah ceria 2NT
Alhamdulillah, pada tahun 2013, aku mendapat ruang untuk lebih dekat dengan mereka terutamanya 4 Salahuddin Al-Ayyubi disebabkan mengajar Matematik Tambahan dan semua banin tingkatan 4 semasa waktu Pendidikan Jasmani & Kesihatan. Walaupun baru mengenali mereka, aku rasa semakin dekat ikatan ukhuwwah tatkala bersama dengan mereka. Mereka mempunyai nilai dan kelebihan tersendiri.

bersambung...

Wafdul Amin 2013 : Sebuah Kenangan Indah bersama batch 2NT (part 1)

بِسمِ اللَّهِ الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ

Marang…sebuah nama yang mempunyai makna yang tersendiri. Bumi yang indah dihiasi dengan laut yang terbentang luas. Merupakan pantai yang paling panjang di rantau Semenanjung ini. Diliputi dengan kawasan berpaya dan sedikit berbukit menambahkan lagi pesona sebuah daerah tersebut.
Suasana pantai di Marang
Replika udang, sotong dan kerang di Bandar Marang
Sama sekali tidak menyangka, pada tanggal 27 November 2013, akhirnya aku bersama dengan banin dan banat batch 20 Al-Amin Gombak berkesempatan untuk berkelana di sana selama 5 hari. Tujuannya ialah untuk menjayakan program tahunan yang dinanti-nantikan oleh semua pelajar banin dan banat Tingkatan 4, iaitu program Wafdul Amin atau lebih dikenali sebagai WAFA. Program ini bertujuan untuk melibatkan pelajar-pelajar bersama masyarakat atau lebih mesra dengan program anak angkat. Pada mulanya aku menjangkakan yang 5 hari itu terasa agak bersesuaian, tetapi apabila mengharungi hari-hari di sana, barulah aku menyedari yang 5 hari terasa amat singkat. 


Keratan akhbar Sinar Harian edisi Terengganu mengenai WAFA 2013
Kalau sebelum ini hanya mendengarkan dan membayangkan keadaan musim tengkujuh di sana. Kini, aku sendiri merasai bagaimana keadaan sebenar ‘musim tengkujuh’ yang aku ketahui. Tempat yang menjadi destinasiku ialah Kampung Bukit Gasing. Sebuah kampung nelayan yang terdiri daripada lebih kurang 200 buah rumah. Kebanyakkan penduduk di kampung tersebut bekerja sebagai nelayan. Ada yang bertanyakan, kenapa memilih kampung tersebut sebagai tempat untuk program WAFA kali ini. Jawapan yang paling tepat ialah Allah yang memilih untuk aku berada di sana. Sebenarnya ada alasan tersendiri mengapa Marang dipilih sebagai tempat WAFA walaupun pada awalnya banyak halangan yang dihadapi termasuklah dipersoalkan oleh sebahagian ibu bapa berkenaan tempat tersebut.

bersambung..