Tuesday 17 December 2013

Wafdul Amin 2013 : Sebuah Kenangan Indah bersama batch 2NT (part 1)

بِسمِ اللَّهِ الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ

Marang…sebuah nama yang mempunyai makna yang tersendiri. Bumi yang indah dihiasi dengan laut yang terbentang luas. Merupakan pantai yang paling panjang di rantau Semenanjung ini. Diliputi dengan kawasan berpaya dan sedikit berbukit menambahkan lagi pesona sebuah daerah tersebut.
Suasana pantai di Marang
Replika udang, sotong dan kerang di Bandar Marang
Sama sekali tidak menyangka, pada tanggal 27 November 2013, akhirnya aku bersama dengan banin dan banat batch 20 Al-Amin Gombak berkesempatan untuk berkelana di sana selama 5 hari. Tujuannya ialah untuk menjayakan program tahunan yang dinanti-nantikan oleh semua pelajar banin dan banat Tingkatan 4, iaitu program Wafdul Amin atau lebih dikenali sebagai WAFA. Program ini bertujuan untuk melibatkan pelajar-pelajar bersama masyarakat atau lebih mesra dengan program anak angkat. Pada mulanya aku menjangkakan yang 5 hari itu terasa agak bersesuaian, tetapi apabila mengharungi hari-hari di sana, barulah aku menyedari yang 5 hari terasa amat singkat. 


Keratan akhbar Sinar Harian edisi Terengganu mengenai WAFA 2013
Kalau sebelum ini hanya mendengarkan dan membayangkan keadaan musim tengkujuh di sana. Kini, aku sendiri merasai bagaimana keadaan sebenar ‘musim tengkujuh’ yang aku ketahui. Tempat yang menjadi destinasiku ialah Kampung Bukit Gasing. Sebuah kampung nelayan yang terdiri daripada lebih kurang 200 buah rumah. Kebanyakkan penduduk di kampung tersebut bekerja sebagai nelayan. Ada yang bertanyakan, kenapa memilih kampung tersebut sebagai tempat untuk program WAFA kali ini. Jawapan yang paling tepat ialah Allah yang memilih untuk aku berada di sana. Sebenarnya ada alasan tersendiri mengapa Marang dipilih sebagai tempat WAFA walaupun pada awalnya banyak halangan yang dihadapi termasuklah dipersoalkan oleh sebahagian ibu bapa berkenaan tempat tersebut.

bersambung..

No comments:

Post a Comment